Penubuhan 1,878 Komuniti Madani perkasa usaha salur maklumat

Iklan
Fahmi (tengah) bergambar bersama Mohamad Fauzi (tiga dari kanan) dan Ahmad Zakiyuddin (tiga dari kiri) serta orang ramai yang hadir pada Majlis Prapelancaran Komuniti Madani hari ini. - Foto Bernama

TASEK GELUGOR - Kerajaan yakin penubuhan 1,878 Komuniti Madani di seluruh negara mampu memperkasakan usaha penyaluran maklumat kerajaan kepada rakyat dengan kerjasama semua pihak di peringkat akar umbi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan penubuhan tersebut dan bagi Pulau Pinang, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) akan menubuhkan sebanyak 120 Komuniti Madani membabitkan 40 kawasan DUN.

Iklan
Iklan

"Komuniti Madani merupakan badan sukarela pelbagai kaum yang diurus tadbir oleh JaPen untuk memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat, selain membantu menyalurkan maklumat dan inisiatif kerajaan yang sahih dan pantas ke peringkat akar umbi secara berterusan.

"Kerajaan amat mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam usaha melestarikan komuniti yang berinformasi bagi menyampaikan maklumat yang sahih, telus dan bermanfaat," katanya pada sidang media selepas melancarkan Majlis Prapelancaran Komuniti Madani di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin.

Fahmi berkata, usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Malaysia Madani adalah tanggungjawab bersama dan beliau yakin Komuniti Madani telah bersedia untuk bergerak sebagai satu pasukan yang mendukung semangat perpaduan demi kesejahteraan negara.

Iklan

"Konsep Malaysia Madani yang diaspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutamakan keseimbangan komuniti dalam pembangunan negara agar kemajuan serta kemakmuran dirasai oleh rakyat.

"Malaysia Madani merupakan panduan dan ikhtiar secara bersepadu sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi bertunjangkan sikap hormat-menghormati dan meraikan kepelbagaian," katanya. - Bernama