Tiada untung punca Kelantan FC lewat bayar KWSP, Perkeso

Iklan
Zamsaham

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengakui pihaknya lewat melunaskan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disebabkan kelab itu tidak memperoleh keuntungan.

Zamsaham bagaimanapun berkata, pihaknya kini sedang berusaha melunaskan kedua-dua bayaran tersebut yang mencecah RM400,000.

Iklan
Iklan

"Kita sudah mula bayar, kalau tidak berbuat demikian Kelantan FC tidak boleh sambung lesen (perlesenan pasukan)," katanya semasa sesi soal jawab bersama penyokong TRW pada Sabtu.

Lebih 100 penyokong menghadiri majlis tersebut dengan 25 daripada 28 soalan telah dijawab oleh Zamsaham di hadapan 'pemain ke-12' Kelantan FC itu.

Iklan

Sebagai pemilik beliau turut mendahulukan duit poketnya sendiri untuk membayar tunggakan terbabit.

Zamsaham (kiri) semasa sesi soal jawab bersama penyokong TRW pada Sabtu.

Ujarnya, pada masa sama Kelantan FC sedang menyusun semula proses pembayaran KWSP dan Perkeso.

Iklan

Zamsaham memberitahu, beliau memberi komitmen tinggi terhadap isu tersebut.

"Jadi kita rugi RM200,000 dan kita ada dua pilihan sama ada bayar gaji atau bayar caruman KWSP serta Perkeso. Bila kita rugi dan pemain-pemain mahukan gaji mereka terlebih dahulu maka kita pilih untuk memberi keutamaan kepada pembayaran gaji terlebih dahulu.

"Jadi kenapa tidak membayar caruman KWSP dan Perkeso? Sebab belum untung," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamsaham berkata, TRW sedang berusaha mengekalkan pemain import pasukan termasuk Miguel Cifuantes.