KAPIT - UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) walaupun bukan sebagai perwakilan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bekas ahli parti Melayu itu mungkin boleh menjadi pemerhati di luar dewan ketika perhimpunan tersebut berlangsung.
"Siapa-siapa nak datang ahli yang bukan perwakilan atau bekas ahli-ahli (UMNO) yang mahu (datang), atau kerinduan mereka terhadap perhimpunan agung ini, sila datang. (Mereka) yang dari lain-lain parti juga boleh datang.
"Kita harapkan PAU 2023 ini adalah suatu titik permulaan bagi kita untuk menyelesaikan permasalahan atau isu yang ada sekarang ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri rumah terbuka sambutan Hari Gawai di sini pada Sabtu.
Semalam, Astro AWANI melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki secara berseloroh 'mengajak' mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui kain samping UMNO mereka pada PAU 2023, yang dijadual pada 7 Jun hingga 10 Jun ini.
UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengesahkan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menghadiri PAU 2023 pada 9 Jun.
Jelas beliau, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Abang Johari ketika sesi pertemuan di kediaman Premier Sarawak itu di Kuching, pagi tadi. - Awani