KULAI - Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori lain di kawasan lampu isyarat Jalan Perindustrian Sedenak, dekat sini pada Sabtu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Khairil Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.44 petang.
"Seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah dihantar ke tempat kejadian. Kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Hino dengan lori membawa muatan tanah.
"Terdapat seorang mangsa berusia 59 tahun tersepit di bahagian pemandu lori Hino. Pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan 'stretcher' sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pemandu lori bawa muatan tanah itu pula cedera dan dibawa ke hospital berhampiran oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
Tambah beliau, operasi menyelamat mangsa tamat pada 7.25 petang.