HILANG keyakinan disifatkan punca Perak FC dibelasah Terengganu FC, 3-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.
Namun begitu, pengendali sementara The Bos Gaurus, Yusri Che Lah mengakui para pemainnya telah memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan tersebut.
"Saya faham mereka masih dihantui dengan isu keyakinan yang perlu ditangani pasukan segera.
"Kami barisan kejurulatihan dan pemain senior sentiasa memberikan kata-kata positif kepada para pemain dan ini satu kerja yang cukup besar untuk saya tangani, dalam tempoh tiga hari sebelum bertemu Kedah FC," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan di Ipoh pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yusri memberikan jaminan akan meningkatkan usaha mengembalikan keyakinan para pemain Perak
"Keyakinan merupakan aspek penting terutamanya bagi mengharungi baki perlawanan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya lagi
Dalam pada itu, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner gembira apabila skuad Penyu berjaya membawa pulang tiga mata ke Kuala Terengganu.
"Ada perlawanan kita tidak sepatutnya kalah tetapi inilah bola sepak dan kini kami gembira kerana selepas dapat tiga mata ketika bertemu Penang FC, dan sebelum itu satu mata ketika bertemu Sabah FC.
"Ya, setiap perlawanan baharu satu cabaran baharu dan saya maklumkan para pemain untuk bermain dengan sepenuh hati jika hendak menang, dan hari ini kami berhak menang," katanya.