NEW DELHI - Kesilapan teknikal mungkin menjadi punca kepada nahas pelanggaran tiga buah kereta api yang mengorbankan hampir 300 nyawa di Odisha, timur India pada Jumaat malam.
Memetik laporan Hindustan Times, satu laporan yang dikeluarkan mendakwa tren Coromandel Express Howrah-Chennai memasuki laluan kereta api berlainan di Balasore disebabkan kesilapan isyarat.
Hasil siasatan awal pegawai kanan pengurusan kereta api mendedahkan, kesilapan teknikal mungkin menyebabkan tren Coromandel Express memasuki laluan kereta api kargo yang diparkir di lokasi itu.
Jelas laporan itu, ia mengakibatkan tiga kereta api bertembung di daerah Balasore, Odisha sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 290 orang dan lebih 1,100 cedera.
Malah, jelas laporan itu, pihaknya mendapati sebahagian laluan terbabit juga mengalami kerosakan.
Laporan yang diperoleh Hindustan Times mendakwa tren Coromandel Express Howrah-Chennai memasuki laluan berhampiran stesen kereta api Bahanaga Bazar di Balasore kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) disebabkan kesilapan teknikal.
Bagaimanapun, laporan itu ditarik balik dengan serta-merta.
Laporan itu turut mendakwa tren Coromandel Express memasuki laluan terbabit pada kelajuan lebih 120 kilometer sejam.
Ketua Setiausaha Odisha, Pradeep Jena memaklumkan angka kematian akibat nahas itu dijangka meningkat lagi.
Katanya, lebih 200 ambulans dan 180 anggota perubatan kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian.
Nahas berlaku kira-kira pukul 7 malam (waktu tempatan) pada Jumaat apabila kereta api Howrah Superfast Express dalam perjalanan dari Bangalore ke Howrah, West Bengal bertembung dengan Coromandel Express dari Kolkata ke Chennai.
Dalam pada itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi berikrar, hukuman berat menanti mereka yang didapati bersalah dengan kejadian itu.
Modi, yang turun padang ke lokasi kejadian melihat sendiri tahap kemusnahannya berkata, siasatan menyeluruh kini sedang dijalankan oleh pelbagai pihak dengan arahan juga sudah dikeluarkan mengenainya.
Beliau turut sifatkan insiden sebagai sesuatu yang dahsyat dan menyedihkan selain memeritkan. - Awani