SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan ketika memandu lori Roll On Roll Off (roro) di Persiaran Mokhtar Dahari, di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, penahanan kira-kira jam 12.20 tengah hari itu dibuat sepasukan anggota JPJ Selangor yang sedang membuat rondaan sebelum mengesan lori terbabit dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati lori tanpa muatan itu dipandu oleh remaja terbabit.
"Turut bersama remaja itu ialah abangnya berusia 15 tahun sebagai kelindan.
Khairul Khar berkata, siasatan awal mendapati remaja yang masih bersekolah itu melakukan kerja secara sambilan memandu lori roro milik syarikat keluarganya.
Katanya, JPJ bertindak menyita lori terbabit mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa Ijok untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, memandu di bawah umur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 APJ 1987 dan jika sabit salah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
"Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan," ujarnya.