ERIK ten Hag mahu Manchester United mengambil pengajaran daripada kekalahan tipis 1-2 dalam perlawanan akhir Piala FA kepada Manchester City untuk memperbaiki pasukan dan menyaingi pasukan musush setempat itu.
Dalam aksi di Wembley itu, Ilkay Gundogan membuka jaringan dengan sepakan voli menakjubkan selepas 12 saat sebelum penalti Bruno Fernandes membatalkan gol terpantas dalam sejarah final Piala FA itu.
Tetapi, City kembali mendahului menerusi satu lagi voli Gundogan untuk memastikan kemenangan 2-1, memberi mereka peluang untuk menyamai treble United pada 1999 dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara hujung minggu depan.
"Pertama sekali, kami perlu sentiasa tunjukkan rasa hormat. Tetapi, ya sudah tentu, ia adalah motivasi.
"Anda perlu merasakannya di dalam diri anda. Ini menyakitkan dan ia mesti menjadi satu semangat.
"Kami mahu berada di sana dan pasukan kami, pemain saya layak. Tetapi, perkara paling penting adalah anda perlu memenanginya dan itu adalah langkah seterusnya yang perlu kami lakukan," katanya.
Bagaimanapun, ia tetap menjadi pengakhiran yang menggembirakan untuk musim pertama di bawah kendalian Ten Hag apabila berbangga mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan ketiga, kemenangan Piala Liga Inggeris dan kekalahan tipis di final Piala FA.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada City kerana memenangi Piala FA, tetapi saya fikir ia sangat sengit, ia adalah satu lawan satu.
"Kami bermain sangat kompetitif dan organisasi yang sangat baik. Kami tidak membenarkan mereka keluar bermain permainan terbuka menentang pasukan yang mungkin terbaik di dunia pada masa ini.
"Kami bangkit selepas ketinggalan pantas dan saya rasa kami satu-satunya pasukan di dunia yang mampu melawan pasukan dari City ini.
"Jadi, ya, saya gembira dengan prestasi pasukan saya," katanya.