PERLAWANAN terakhir Lionel Messi untuk Paris Saint-Germain (PSG) berakhir dengan kekalahan pada awal pagi Ahad, manakala Monaco terlepas kelayakan Eropah dan Auxerre tersingkir pada malam terakhir Ligue 1 musim ini.
Pengumuman mengenai Messi yang akan meninggalkan kelab gergasi Perancis itu selepas dua musim disahkan secara rasmi oleh PSG dalam satu kenyataan sejurus sebelum perlawanan menentang Clermont itu.
"Sumbangannya kepada Paris Saint-Germain dan Ligue 1 tidak boleh dipandang remeh dan kami mendoakan yang terbaik untuk Leo dan keluarganya pada masa depan,” kata presiden PSG, Nasser al-Khelaifi.
Namun Messi, yang menamatkan karier PSG dengan 32 gol dalam 75 penampilan, diejek oleh beberapa penyokong semasa perlawanan itu selepas tewas 3-2.
PSG berdepan cabaran dalam perlawanan tersebut selepas melengkapkan rekod kejuaraan Perancis ke-11 hujung minggu lalu apabila pasukan kendalian Christophe Galtier itu mensia-siakan kelebihan dua gol dimiliki.
Sergio Ramos yang turut akan meninggalkan pasukan menandakan penampilan terakhirnya dengan menanduk masuk hantaran lintang Vitinha untuk gol pembukaan pada minit ke-16.
Mbappe yang ingin menamatkan kempen kelima berturut-turut sebagai penjaring terbanyak Ligue 1, kemudian menjaringkan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Johan Gastien merapatkan kedudukan tiga minit berselang sebelum pelawat menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi Mehdi Zeffane.
Grejohn Kyei memastikan kemenangan untuk Clermont pada separuh masa kedua dengan pasukan itu menamatkan saingan liga di kedudukan kelapan.