Beruas perlu balai bomba

Iklan
Azman (dua dari kanan) selepas menyerahkan memorandum mengenai keperluan mewujudkan BBP di kawasan Beruas kepada Kor Ming pada Sabtu.

BERUAS - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) diharap mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah balai bomba dan penyelamat (BBP) di Beruas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Azman Noh berkata, permintaan tersebut dibuat memandangkan BBP terhampir di kawasan itu memakan masa kira-kira 30 minit untuk sampai jika berlaku kecemasan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan wujudnya BBP baharu di kawasan berkenaan, ia bukan sahaja membantu mempercepatkan bantuan keselamatan kepada penduduk, tetapi turut dapat meyakinkan pelabur untuk berada di Beruas.

"Saya percaya, sudah sampai masanya Beruas mempunyai sebuah balai bomba, di samping menjaga keselamatan, juga untuk meyakinkan pelabur untuk membina kilang mereka di sini.

Iklan

"Kedudukan Beruas yang berhampiran WCE (Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat) boleh memudah dan menyegerakan operasi menyelamat jika berlaku kemalangan di lebuh raya berkenaan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di sini pada Sabtu.

Azman berkata, BBP yang dicadangkan itu boleh menggunakan bangunan kerajaan sedia ada di Pekan Beruas dengan sedikit pengubahsuaian tanpa perlu membina bangunan baharu.

Iklan

Menurutnya, mukim Beruas sendiri mempunyai lebih 10,000 penduduk, termasuk lebih 7,000 yang tinggal di pekan Beruas.

Sementara itu, Azman turut menyatakan penghargaan kepada KPKT kerana meluluskan peruntukan untuk beberapa projek di sekitar kawasan Beruas seperti RM100,000 untuk menaik taraf pencahayaan sekitar Pantai Kulit Kerang, Pantai Remis.

Kor Ming sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke Daerah Manjung dengan melawat beberapa tempat termasuklah Pasar Awam Ayer Tawar.