MAKKAH - Pelakon terkenal, Lisdawati tidak mampu menahan air mata apabila menyentuh soal hubungan dirinya dengan ALLAH setelah terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.
Kata Lisdawati ataupun nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin,45, sebagai hamba yang tidak dapat lari daripada melakukan dosa, peluang ke Tanah Suci kali ini amat bermakna dalam hidupnya yang tidak mampu dijelaskan dengan kata-kata.
"Saya sebenarnya tak sangka dapat tunai haji tahun ini. Apabila mula-mula dapat tawaran tu banyak persoalan di fikiran sama ada bersedia atau tidak kerana orang macam saya ini tak ada ilmu agama yang banyak.
"Alhamdulilah kerana niat kita baik untuk menjadi tetamu ALLAH, saya dapat mendalami kelas ibadat haji secara ‘personal’ dengan guru agama dan seterusnya mengikuti kursus haji perdana di Putrajaya,” katanya.
Lisdawati yang berlepas ke Tanah Suci pada 22 Mei lalu berkata, ibunya, Risda Chalidi,67, yang bersamanya untuk menunaikan haji kali ini adalah kekuatan yang menjadikan dirinya makin dekat dengan ALLAH.
"Mak saya pernah kena sihir dan berjumpa dengan (Allahyarham) Datuk Ustaz Haron Din. Masa tu Ustaz tepuk bahu ibu saya tiga kali pastu ibu saya menangis, ini je ke ustaz berubat tanpa baca apa-apa doa tanya ibu saya.
"Ustaz kata doa ibu saya lebih mustajab. Bila ibu saya balik doa berhari-hari, amalkan doa Ustaz ajar dan Alhamdulilah sihat sehingga hari ini,” katanya.
Kata Lisdawati, apabila melihat keyakinan ibunya terhadap kuasa ALLAH, maka dari situ dia belajar bahawa cinta kepada ALLAH perlu melebihi segala-galanya.
Kata Lisdawati, dia sentiasa berdoa agar terus istiqamah dalam mengabdikan diri kepada ALLAH kerana pada zaman sekarang banyak cabaran yang boleh menggoyahkan iman.
Menyentuh soal karier sebagai artis apabila pulang ke tanah air nanti, Lisdawati berkata, ramai produser filem faham akan penampilan diri yang selari dengan tuntutan seorang Muslimah.
Alhamdulillah selagi diizinkan suami saya akan berlakon dengan watak yang lebih selektif iaitu menjaga batas agama, menjaga waktu solat dan pembawaan watak yang dapat beri manfaat kepada penonton.
"Sebenarnya di Makkah ini saya lebih berdoa agar suami dapat lebih banyak ‘job’ supaya saya dapat fokus lebih banyak masa dengan anak-anak di rumah,” katanya.