TANAH MERAH - Seorang bekas banduan yang mengamuk akibat berang tidak dibenarkan meminjam motosikal anaknya ditahan polis selepas sepucuk pistol berisi enam peluru ditemukan bersamanya di Kampung Air Murbo, Jedok, di sini pada Sabtu.
Suspek lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Tanah Merah pada jam 2.55 petang.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, suspek yang bekerja sebagai penebang pokok sebelum itu mengamuk dan turut mengugut isteri yang berusia 39 tahun serta seorang anak lelaki mereka.
"Suspek ditahan di ruang tamu rumah dan pemeriksaan di dalam beg silang yang dipegangnya menemukan sepucuk pistol jenis Revolver S/W 357 Magnum Smith and Wesson berwarna perak bersama sarung pistol berwarna hitam serta enam peluru.
"Turut dijumpai lima pil dadah jenis Yaba dalam beg sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini pada Ahad.
Menurut beliau, berdasarkan keterangan awal suspek mengaku memperoleh pistol tersebut daripada kenalannya sejak dua minggu lalu.
"Suspek juga baru dua bulan bebas dari penjara kerana kesalahan dadah dan curi motosikal,” katanya.
Mohd Haki berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (Ahad) sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.
"Urin suspek didapati positif metamphetamine dan ada lima rekod lampau termasuk tiga dadah,” katanya.