KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan rasa duka dengan insiden tragis yang membabitkan kemalangan kereta api di negeri Odisha, India.
Turut menyuarakan rasa sedih dengan insiden itu ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Azizah dan saya amat berdukacita dengan berita berhubung kemalangan kereta api yang tragik di Odisha, India.
"Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terjejas akibat kemalangan itu,” katanya dalam catatan Twitter hari ini.
Anwar berkata, dalam masa yang sukar ini, ingatan dan doa Malaysia adalah bersama India.
Menurut laporan berita, perlanggaran kereta api di negeri itu pada petang Jumaat menyebabkan sekurang-kurangnya 288 orang terbunuh dan lebih 1,000 cedera.
Perlanggaran dipercayai berpunca daripada masalah teknikal. - Bernama