Sugarbomb yakin dapat lonjak jualan minyak wangi

Iklan
Ahmad Azahari yakin terhadap promosi yang baru dilancarkan iaitu peraduan Spot & Win Weakly Prize bakal mengukuhkan lagi jenama produk keluaran syarikatnya.
PENGELUAR minyak wangi berjenama Sugarbomb, Infinite Opportunities Sdn Bhd (Infinite Opportunities) yakin penganjuran pertandingan Spot & Win Weakly Prize bakal mengukuhkan lagi jenama produk keluaran syarikat itu di pasaran tempatan.

Pengasasnya, Ahmad Azhari Rosli berkata, pertandingan tersebut bakal menawarkan hadiah bernilai RM60,000 dalam bentuk wang tunai, barangan elektrik dan pakej percutian kepada pengedarnya.

Menurut beliau, ia berlangsung selama enam minggu dan hadiah yang diperuntukkan bagi setiap minggu bernilai RM10,000.

"Untuk memenangi hadiah tersebut, pelanggan perlu mengambil gambar dengan kereta-kereta yang tertera jenama Sugarbomb. Sebanyak 100 kereta yang terdapat jenama Sugarbomb mula bergerak ke seluruh Semenanjung Malaysia.

"Pelanggan hanya perlu mengambil gambar dan muat naik dalam sosial media sekiranya mereka yang menemui salah sebuah kereta tersebut," katanya pada majlis pelancaran kempen terbaharu Sugarbomb di Bangi, baru-baru ini.Ahmad Azhari berkata, pemenang hadiah mingguan akan dipilih berdasarkan gambar berserta kapsyen yang paling kreatif.

Ahmad Azhari berkata, program julung kali yang diadakan itu dijangka melonjakkan jualan syarikat hampir 100 peratus sehingga boleh mencecah lebih 100,000 unit botol minyak wangi sebulan.

"Syarikat kini memiliki 50 jenis minyak wangi dengan inspirasi haruman jenama antarabangsa yang dijual pada harga RM10 hingga RM35 mengikut saiz botol produk masing-masing untuk 10 mililiter (ml) dan 30ml. Pati yang digunakan untuk menghasilkan Sugarbomb diimport dari Switzerland," katanya.

Mengulas mengenai perancangan syarikat, Ahmad Azhari menjangkakan jualan Sugarbomb sebanyak 1.5 juta botol menjelang akhir tahun ini didorong oleh strategi pemasaran yang agresif syarikat.

"Kami melabur kira-kira RM1.8 juta setahun untuk membantu peningkatan jualan dan menambahkan bilangan rakan kongsi eksklusif kepada 50 orang berbanding hanya 31 orang sekarang.

"Kami juga akan menambahkan bilangan penjual kami kepada kepada 5,000 orang berbanding setakat ini hanya 3,897 orang," katanya.