KUBANG PASU - Kementerian Pertahanan akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara dalam masa terdekat sebagai usaha memajukan industri berkenaan pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia juga sebagai salah satu langkah untuk menyediakan peluang pekerjaan dan pendapatan terbaik kepada mereka yang akan menceburi industri pertahanan.
Katanya, setakat ini kementerian sedang menyiapkan dokumen-dokumen berkaitan dan ia bakal dilancarkan dalam tahun ini setelah semua dokumen lengkap.
"Dasar itu nanti juga berperanan untuk melahirkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang berkebolehan sekali gus memenuhi peluang kerjaya yang ada dalam industri," katanya selepas hadir ke sesi Town Hall bersama mahasiswa negeri Kedah di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) di sini pada Ahad sempena Program Kesedaran Mahasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kepenggunaan.
Menurutnya, Cyber Security juga adalah aspek baharu dalam dunia pertahanan dan turut didedahkan kepada pelajar.
"Sebab itu kita sediakan kemampuan ini ( Cyber Security) di kalangan pelajar dan pada masa sama kita juga cuba padankan dengan keperluan di Kementerian Pertahanan.
"Ini membolehkan graduan UPNM mempunyai ruang kerja yang baik bukan sahaja dalam bidang pertahanan malah bidang lain," katanya.