Young Tigress belasah Taiwan

Iklan
Aksi pemain Young Tigress kempen Piala Remaja Wanita Asia 2023.

SKUAD hoki remaja wanita kebangsaan memulakan kempen Piala Remaja Wanita Asia 2023 dengan membelasah Taiwan, 7-0, dalam saingan Kumpulan A di Kakamigahara, Jepun, pada Ahad.

Tonggak pertahanan, Nur Nabila Alia Yussaini dan Siti Nur Atika Shaikh Maznan masing-masing menyumbat dua gol bagi membantu skuad 'Young Tigress' di bawah kendalian Lailin Abu Hassan memungut tiga mata penuh dalam aksi di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries.

Iklan
Iklan

Malaysia memulakan pesta gol menerusi jaringan padang oleh penyerang, Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha pada minit ke-20 dan hanya memerlukan dua minit kemudian untuk menggandakan jaringan menerusi penalti shootout oleh Nur Nabila Alia.

Pasukan negara yang terus menggandakan asakan memperoleh gol kelima, kali ini oleh jaringan padang Thibatharshini James, selang tiga minit kemudian diikuti gol kedua Nur Nabila Alia menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-37 sebelum jaringan padang Siti Nur Atika melengkapkan kemenangan besar Malaysia pada minit ke-40.

Iklan

Walaupun menang besar, Lailin mengakui beliau kurang berpuas hati dengan kegagalan pemainnya memanfaatkan pukulan sudut penalti sekali gus menghalang Malaysia daripada menjaringkan lebih banyak gol hari ini.

"Pemain juga agak gugup untuk dapatkan gol namun selepas separuh masa kedua, saya lihat mereka dapat keyakinan jaringkan gol dan persefahaman makin meningkat pada setiap suku permainan," katanya dalam satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media.

Iklan

Justeru, beliau menuntut anak-anak buahnya untuk terus fokus dan lebih tajam di hadapan gol ketika bertemu India, yang disifatkannya sebagai pasukan pilihan dalam kejohanan ini, pada saingan kedua kumpulan esok.

Kejohanan berlangsung sejak 2 Jun sehingga 11 Jun ini, yang juga merupakan aksi kelayakan Piala Dunia Remaja Wanita, disertai oleh 10 pasukan dan dibahagi kepada dua kumpulan.

Juara dan naib juara kumpulan akan melangkah ke separuh akhir manakala tiga pasukan terbaik mendapat slot ke Piala Dunia Remaja Wanita 2023 berlangsung di Santiago, Chile, pada 29 November hingga 10 Disember ini.-Bernama