SHAH ALAM - Laman sosial Instagram pendaki solo negara, T Ravichandran menjadi sasaran amarah netizen berhubung hantarannya yang dipercayai tidak memberi kredit terhadap sherpa yang menyelamatkan ketika ekspedisi pendakian di Gunung Everest baru-baru ini.
Berdasarkan hantaran pada Sabtu, Ravi hanya menzahirkan penghargaan kepada pasukan penyelamat tanpa menyebutkan individu lain yang turut terlibat.
Status anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan tersebut kemudian menimbulkan kemarahan netizen kerana tidak menyebut pihak tersebut.
Pengguna akaun Hairihang menegur Ravi dan mengingatkan untuk menghargai bantuan orang lain.
Seorang lagi netizen bernama Victor_lhc90 berkata, Ravi seharusnya memberikan sedikit kredit meskipun kepada seorang Sherpa.
"Sekurang-kurangnya berilah kredit kepada Gelje Sherpa,” katanya.
Warga netizen turut memarahinya kerana Ravi dikatakan memblok sherpa tersebut di media sosialnya.
Selepas beberapa teguran lain diberikan, Ravi sekali lagi memuat naik status di akaun Instagramnya pada dengan memberikan kredit terhadap sherpa berkenaan.
"Saya masih hidup hari ini, kerana saya mempunyai Rakan Kongsi yang terbaik dan berdedikasi - The 14th Peaks Expedition Co yang diketuai oleh Tashi Sherpa (dan Sherpanya - Mingma Tendi, Gelje Sherpa, Nima Dorjee, Dawa, Nima Tashi, Dipen Bhote) dan Global Rescue Ins,” ujarnya.
Hantaran Ravi itu bagaimanapun masih belum meredakan kemarahan rata-rata pengguna Instagram tersebut.
Alhafizkech berkata, Ravi sepatutnya tidak diberi tajaan berhubung ekspedisi pendakiannya.
"Jangan taja dia lain kali. Manusia jenis tak bersyukur,” katanya.
Sementara itu, kecaman teruk diberikan pemilik akaun Bennardy kerana menganggap dia telah menyusahkan ramai pihak.
"Badut tak bersyukur, menyusahkan orang,” ujarnya.
Sinar Harian sehingga kini masih menunggu maklum balas daripada Ravi berhubung isu ini.