NEW DELHI -"Punca dan pihak bertanggungjawab ke atas kejadian nahas kereta api terburuk dalam tempoh beberapa dekad telah dikenal pasti."
Kenyataan itu dibuat Menteri Kereta Api India, Ashwini Vaishnaw pada Ahad selepas tragedi menggemparkan berhampiran Balasore di negeri timur Odisha pada Jumaat meragut hampir 300 nyawa manakala kira-kira 900 yang lain cedera.
"Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada sistem isyarat elektronik, namun butiran lanjut tidak dapat diberikan sebelum laporan akhir dikeluarkan," lapor agensi berita ANI memetik kenyataannya.
"Siapa yang terlibat dan bagaimana ia berlaku akan diketahui selepas siasatan menyeluruh," katanya lagi.
Siasatan awal mendapati berlaku kekeliruan mengenai urutan sebenar kejadian itu setelah ralat isyarat menyebabkan Coromandal Express dari Kolkata ke Chennai beralih ke landasan sebelah.
Ia kemudiannya merempuh sebuah kereta api barang dan mengakibatkan sebuah lagi kereta api dari Bengaluru tergelincir dari landasan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Narendra Modi yang berkunjung ke lokasi kejadian dan turut melawat mangsa penumpang di hospital menegaskan pihak bertanggungjawab tidak akan terlepas.
Ketika ini, usaha mengeluarkan mayat tersepit sedang dipergiatkan berikutan kebanyakannya ditemui dalam keadaan tidak lagi sempurna dan hanya boleh dikenal pasti melalui ujian DNA. - AFP