ATLET karate negara, R Sharmendran dan pemain badminton, M Thinaah diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Selangor 2021-2022 sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor pada Ahad.
Kemenangan itu membolehkan kedua-dua atlet berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada majlis berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini.
Sementara itu, anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan ASNS 2021-2022 dimenangi atlet renang, Andrew Goh Zheng Yen dan pemain tenis, Saw Jo Leen yang masing-masing membawa pulang RM5,000 dalam bentuk sijil simpanan premium berserta trofi.
Anugerah Jurulatih Terbaik pula disandang Ong Jin Kooi dari sukan renang yang menerima insentif kemenangan RM5,000 dan trofi.
Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan bagi menghargai jasa dalam pembangunan sukan turut diberikan kepada tiga individu yang menerima insentif RM5,000.
Penerima tersebut ialah Setiausaha Persatuan Renang Amatur Selangor, Helen Chang, bekas Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Peratuan Hoki Selangor, Datuk Profesor Dr S. Shamala dan bekas Presiden Gimnastik Putrajaya, Azmi Hassan.
Sharmendran ketika ditemui pemberita berkata, anugerah yang pertama kali diterimanya dalam 10 tahun karier sukannya itu akan dijadikan sebagai pencetus semangat untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Sementara itu, Thinaah, yang diwakili bapanya S Muralitharan, tidak dapat hadir kerana sedang melakukan persediaan untuk Terbuka Singapura 2023, minggu depan. - Bernama