KUCHING City dan Negeri Sembilan masih belum mampu mengakhiri badi seri kali kedua berturut-turut apabila terikat 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Negeri pada Ahad.
Anak buah K Devan sebelum itu dalam aksi terakhir liga terikat 3-3 ketika melayan kunjungan Kelantan United di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi 23 Mei lalu.
Sementara itu, Kuching City pula mengikat Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.
Dalam perlawanan itu, The Cats terlebih dulu mendahului hasil jaringan minit kelapan Zahrul Nizwan.
Kedudukan itu tidak kekal lama apabila skuad Rusa kembali mengikat perlawanan menerusi Anselmo Arruda Da Silva atau Casagrande pada minit ke-34.
Keputusan itu menyaksikan Negeri Sembilan mengumpul 18 mata hasil empat menang, enam seri dan tiga kekalahan dalam 13 perlawanan.
Kuching City pula selepas 13 perlawanan mengumpul enam mata hasil satu menang, tiga seri dan sembilan kalah.
Sebagai rekod, Kuching City akan melayan kunjungan Kelantan FC di Stadium Negeri pada Khamis.
Dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu pada 26 Februari lalu, Kuching City menewaskan Kelantan FC, 2-1.
Sementara itu, Negeri Sembilan pula berkunjung ke Stadium Darul Makmur menentang Sri Pahang pada Jumaat.
Perlawanan pusingan pertama di Paroi pada 25 Februari lalu, Negeri Sembilan sekadar terikat 1-1 menentang Sri Pahang.