Penangan drama, novel Andai Itu Takdirnya dicetak semula

Iklan
Dari kiri: Idzham, Atikah, Hariz dan Esma di reruai Grup Kumpulan Karangkraf pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Penangan drama Andai Itu Takdirnya, menjadikan novel itu antara ‘terlaris’ hingga perlu diulang cetak sebanyak 10,000 naskhah pada tahun ini.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, sebelum ini, lebih 150,000 naskhah telah diterbitkan sejak tahun 2008, namun disebabkan lonjakan populariti drama berkenaan, novel tersebut mendapat permintaan tinggi untuk dikeluarkan semula.

Iklan
Iklan

"Acara terbesar pada hari ini, kita menampilkan penulis novel terkenal, Ramlee Awang Murshid yang telah bersama-sama dengan Karangkraf selama 25 tahun.

"Bukan itu sahaja, sempena hari terakhir, Grup Buku Karangkraf turut mengadakan sesi temu mesra bersama barisan pelakon novel terlaris, Andai Itu Takdirnya, karya Siti Rosmizah,” katanya sewaktu ditemui di reruai Grup Buku Karangkraf pada Ahad.

Iklan
Firdaus

Antara barisan pelakon yang hadir ialah Esma Daniel, Atikah Suhaime, Idzham Ismail dan Hariz Hamdan.

Bagi Esma Daniel, dia berbangga kerana diberi peluang untuk berlakon dalam drama adaptasi novel terlaris di Malaysia.

Iklan

Katanya, dia tidak mengambil tempoh yang lama untuk berfikir dan terus ‘menyambar’ tawaran tersebut.

Pelakon Atikah Suhaime memberitahu, drama adaptasi novel itu seolah-olah menggambarkan situasi yang dialami oleh kebanyakan pasangan suami isteri.

"Ia berkisar penceritaan kekeluargaan dan kasih sayang serta berkait dengan penderitaan juga kekuatan seorang isteri dalam mempertahankan anak-anak daripada dikasari oleh bapa mereka.

"Jalan cerita yang dibuat oleh penulis amat baik. Jadi, saya merasakan apabila novel ini dijadikan drama, ia secara tidak langsung menarik minat orang ramai untuk membaca karya berkenaan,” katanya.

Sementara itu. Firdaus turut memaklumkan setakat Sabtu, jumlah pengunjung yang hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 dianggarkan mencecah lebih 1.43 juta orang.

"Alhamdulillah, pada hari terakhir PBAKL ini turut mendapat sambutan yang menggalakkan kerana banyak buku berkualiti boleh didapati dengan potongan harga yang menarik.

"PBAKL kali ini sangat meriah walaupun kedudukan reruai agak tersorok berbanding tahun lalu tetapi ramai orang tertunggu-tunggu kerana bagi penggemar buku ia seperti ‘hari raya buku’,” tambahnya.