Lelaki maut ketika lari daripada Operasi Rantau Dawai

Iklan
Mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di lereng bukit berhampiran Taman Jesselton pada awal pagi Ahad - Gambar hiasan

GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tebing batu bukit berhampiran Taman Jesselton dekat sini pada awal pagi Ahad.

Difahamkan, lelaki terbabit disyaki salah seorang daripada ahli Geng Rantau Dawai yang aktif dalam kegiatan jenayah samun dan pecah masuk kediaman elit di sekitar bandar ini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lelaki tanpa identiti dan bangsa yang tidak diketahui itu ditemui di hutan dipercayai terjatuh dari tebing batu bukit.

"Sebelum kejadian, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Ahad, sepasukan polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Pasukan Gerakan Am dari Batalion 1 dan 18 telah menjalankan tugas Op Rantau Dawai di kawasan Taman Jesselton.

Iklan

"Polis kemudian telah meminta ketiga-tiga suspek terbabit supaya berhenti bagi membuat pemeriksaan, namun mereka terus melarikan diri ke arah yang tidak ketahui kerana keadaan di dalam hutan itu gelap," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, polis seterusnya telah menjalankan operasi pencarian di sekitar kawasan terbabit namun tidak menjumpai sebarang petunjuk.

Iklan

"Bagaimanapun, kira-kira jam 4.45 pagi, Ahad, kita telah menjumpai seorang lelaki yang tidak pasti bangsanya dalam keadaan tertiarap dan tidak bergerak di lereng bukit dalam hutan berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap mayat lelaki tersebut menemui sebuah beg galas yang terletak disebelahnya. Beg terbabit mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau, beberapa peralatan seperti pemotong, pemutar skru dan sarung tangan yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah serta sebilah pisau pemotong daging.

"Polis bagaimanapun tidak menjumpai sebarang dokumen diri. Bantuan daripada Pasukan Forensik dan Unit K9 IPK Pulau Pinang juga gagal menemui sebarang petunjuk," jelasnya.

Kok Chin berkata, mayat suspek dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah kecederaan parah di kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi. Cap jari dan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa diambil untuk tujuan mengesan identiti.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Dalam pada itu, saya menasihati orang awam agar sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mencegah daripada menjadi mangsa pecah rumah serta samun," katanya.