TANJUNG MALIM - Pasukan penyelamat memulakan operasi dengan menyelam di Sungai Bernam bagi mencari kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Lubuk Gelap Simpang 4 dekat sini pada Isnin.
Operasi yang masuk hari ketiga itu melibatkan 52 anggota lain-lain agensi bagi mencari mangsa, Edward Grang Anak Jenggut berusia lapan tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama keluarganya Sabtu lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, seramai 11 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan melakukan selaman di beberapa tempat di lokasi kejadian.
"Faktor ini dapat membantu pasukan PPDA menyelam di beberapa kawasan. SAR diperluaskan kepada empat kilometer sehingga ke pekan Tanjung Malim," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut beliau, dua anjing pengesan, Lady dan Grouse turut membantu mengesan mangsa.
Tambah Sabarodzi, aset berkaki empat milik JBPM itu tiba di lokasi pada Ahad dan membantu operasi dengan menaiki bot 'wheely'.
"Selain itu, kita mewujudkan 'trap point' sebagai salah satu strategi dan taktikal menyelamat sejauh 2.5km dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
"Operasi turut dibantu oleh kumpulan penyelamat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan menggunakan rafting dan kayak," katanya.
Media melaporkan SAR diaktif pada Sabtu selepas mangsa memakai baju renang berwarna hitam bertompok hijau ketika mandi, hilang dipercayai lemas sekitar jam 5 petang.