Gabungan formula taruhan PH-BN, bukan hanya status quo

Iklan
Mahfuz

ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Kedah menggabungkan formula terbaik dalam pengagihan kerusi bagi memastikan kemenangan lebih berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, rundingan akhir kini hanya melibatkan empat kerusi atau sekitar 10 peratus yang masih belum dimuktamadkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rundingan membabitkan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) telah pun disepakati atas semangat perpaduan.

"Kami sudah sampai ke penghujung, rundingan hanya untuk tiga atau empat kerusi yang belum selesai. Kita telah berjaya menetapkan apa yang telah diputuskan oleh gabungan di peringkat Pusat berdasarkan kepada parameter yang perlu diakui semua parti-parti dalam gabungan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Iklan

Mahfuz berkata, status quo kini bukan lagi menjadi penanda aras utama dalam agihan kerusi, sebaliknya mengadunkan pelbagai faktor yang boleh memberi kemenangan kepada calon PH mahupun BN.

"Selain berdasarkan parameter peringkat Pusat, kita masih ada ruang untuk perbincangan. Ada kawasan kita gunakan status quo, iaitu kerusi sedia ada yang kita menang atau BN menang, maknanya kita tidak usik.

Iklan

"Tak kan pula PH nak kerusi Bandar Baharu atau Sungai Tiang (yang memang sudah dimenangi BN), dalam hal ini kita akui kepada mereka. Lain-lain kerusi itu masih ada keterbukaan untuk melihat kepada faktor-faktor boleh menang,” ujarnya.

"Ibaratnya begini, kesemua pihak dalam gabungan PH-BN hendaklah menjadi galah penyambung untuk capai buah di hujung pokok. Masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain, PH perlu kepada BN menjadi galah penyambung, BN juga perlukan PH untuk jadi galah penyambung.

"Kalau ada yang reput, kita harus baiki dan tengok macam mana galah itu seharusnya dilakukan untuk jadi penyambung. Kalau pisau di hujung galah penyambung pula tidak tajam, kita perlu cari pisau yang lebih tajam,” jelasnya.

Mahfuz bagaimanapun belum mendedahkan formula agihan yang akan digunakan dalam PRN sama ada melibatkan 60-40 peratus atau agihan sama rata.

"Yang itu kita tunggu dulu, sebab rundingan masih berjalan, berapa kerusi bagi setiap gabungan akan dimuktamadkan nanti.

"PH pun ada demand (permintaan). BN pun sama demand. Jadi kita selesaikan mengikut cara kita. Sebab itu kita sudah capai tahap yang baik dan hanya tiga empat belum muktamad. Rundingan terhadap semua demand itu dibincangkan secara harmoni,” ujarnya lagi.

Mahfuz bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan yang masih dalam rundingan akhir dan dijangka dapat diselesaikan menjelang pertengahan Jun ini.

"Kawasan mana masih rahsia. Belum boleh dedah. Saya percaya semua 36 kerusi akan dimuktamadkan menjelang Hari Keputeraan Sultan Kedah (18 Jun) dengan mengambil keberkatan hari tersebut,” katanya.

Pada Ahad, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan pembahagian kerusi berasaskan kepada formula 19-17 untuk PH dan BN di Kedah sebagai adil.

Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian pula menyarankan kaedah sama rata atau 60-40 atau mengikut kekuatan masing-masing untuk BN atau PH di Kedah.

Dalam pada itu, Mahfuz menyifatkan pandangan tersebut antara asas yang sangat baik untuk diperhalusi di saat akhir rundingan.

"Ia salah satu asas yang baik dan kami sememangnya melihat dalam semua aspek. Namun perbincangan sudah di penghujung, kita akan umum selepas semuanya selesai,” katanya.