Disangka guni, rupanya bangkai penyu terikat pada batu

Iklan
Seekor penyu dipercayai daripada spesies agar ditemukan mati dengan kaki pendayung hadapan sebelah kanan terikat pada batu di Pantai Pandak Chendering di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita terkejut apabila menemukan bangkai seekor penyu dalam keadaan kaki pendayung sebelah kanan terikat pada batu di Pantai Pandak Chendering, di sini pada petang Ahad.

Nor Shazwa Samnuri, 27, berkata, pada mulanya dia teruja kerana menyangka objek yang ditemui itu adalah seekor penyu yang masih hidup.

Iklan
Iklan

"Dari jauh saya ternampak satu objek seperti guni. Saya terus beritahu ayah yang kebetulan ada bersama di pantai. Sebaik sahaja lihat objek tu ayah kata ia adalah penyu.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja kami mendekati objek itu, kami terkejut sebab tak sangka penyu itu rupa-rupanya telah mati," katanya yang berasal dari Bukit Payong, Marang.

Iklan

Menurut Nor Shazwa, ia adalah pengalaman pertama pertama dia melihat penyu namun tidak dapat menahan kesedihan kerana mendapati haiwan itu seolah-olah sengaja dibunuh kerana terdapat tali yang diikat pada batu.

"Saya sempat ambil beberapa keping gambar sebagai bukti penemuan tersebut untuk rujukan pihak yang bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, berdasarkan gambar yang ditularkan, penyu itu dipercayai dari spesies agar.

"Jika dilihat corak pada badan, nampak penyu itu macam masih muda namun jantinanya sukar dipastikan kerana tiada pemeriksaan fizikal," katanya.

Ujar beliau, kematian penyu akibat perbuatan khianat bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini terdapat kes yang sama berlaku.

"Sudah ada kes penyu mati yang diikat dengan batu, ada juga kes kesan toreh di bahagian perut penyu betina dipercayai kerana mahu mengambil telurnya.

"Sebab itulah kita berharap agar perkara ini dipandang serius oleh semua pihak terutama golongan nelayan yang sentiasa menjadi 'mata dan telinga' kerajaan ketika berada di lautan.

"Sekiranya terjumpa penyu tersangkut atau mati di laut, ia boleh dibawa balik ke pangkalan, dan hubungi Jabatan Perikanan agar bangkai itu boleh dilupuskan dengan baik," jelas beliau.

Menurut Mohd Uzair, kerjasama itu diperlukan bagi mengenal pasti punca kematian spesies hidupan marin itu yang kini semakin diancam kepupusan.

"Penting untuk kita dapatkan bangkai penyu untuk kita buat autopsi bedah siasat cari punca kematian penyu itu.

"Jika penyu itu telah mati dan ditenggelamkan dengan cara begini iaitu diikat dengan batu kemudian ditemukan terdampar di tepian pantai, ia akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan memberi imej yang tidak baik untuk negeri kita sendiri," katanya.