KETUMPULAN penyudah terutamanya bahagian serangan terus membelenggu Negeri Sembilan FC, ketika melabuh tirai pusingan pertama Liga Super pada Ahad.
Itu luahan pengendali Negeri Sembilan, K Devan selepas skuad Rusa melakar keputusan seri 1-1 dalam perlawanan di Stadium Negeri, Kuching.
Tegas Devan, skuad Hoben Jang Hoben itu datang ke Kuching dengan misi tiga mata, namun sebaliknya hanya berjaya bawa pulang satu mata.
"Penyudah kita terutamanya bahagian jentera serangan tidak berapa baik, biarpun melakukan banyak percubaan, namun percubaan semua tepat ke arah penjaga gol, manakala percubaan yang baik pula tidak menepati sasaran.
"Saya optimis Negeri Sembilan boleh menang sekiranya semua peluang menjaringkan gol itu dimanfaatkan dengan lebih baik oleh para pemain dalam perlawanan ini," katanya
Dalam perlawanan itu, Kuching City terlebih awal memimpin perlawanan hasil jaringan Zahrul Nizwan pada minit kelapan.
Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila skuad Rusa kembali mengikat perlawanan menerusi penyudah Casagrande pada minit ke-34.
Tambah Devan lagi, persembahan Negeri Sembilan pada separuh masa kedua ternyata jauh lebih baik dari separuh masa pertama apabila mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol terutamanya Shahrel Fikri.
"Kita ketinggalan satu gol pada awal permainan disebabkan kesilapan bahagian pertahanan, selepas itu Kita bangkit mencari gol penyamaan dengan pendekatan high pressing yang memberikan impak dalam perlawanan hari ini.
"Kita bangkit menguasai permainan pada separuh masa pertama yang akhirnya jaringan penyamaan berjaya dihasilkan Casagrande.
"Saya nampak kesungguhan para pemain selepas ketinggalan satu gol diikuti separuh masa kedua dan penghujung permainan untuk mencari gol kemenangan
"Biarpun saya akui kecewa namun akui gembira apabila sekurang-kurangnya pasukan membawa pulang satu mata dari Kuching," katanya.