KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bakal meluncurkan beberapa dasar negara yang lebih kental dan ampuh bagi mendepani cabaran dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dasar itu merangkumi Pelan Perindustrian Negara yang akan dilancarkan pada Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada akhir September dan Belanjawan Madani kedua pada Oktober.
Perdana Menteri berkata, dasar negara berkenaan amat dituntut, bagi mendepani dunia yang masih bergelut dengan adu kuasa dan peperangan; kerancakan perdagangan ekonomi sejagat kian terbantut dan krisis iklim serta persekitaran berada di tahap genting.
"Dalam semua kerangka besar yang bakal diluncurkan, akan menjadikan landasan tatakelola yang baik, telus dan bertanggungjawab,” katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara 2023 pada Isnin.
Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain usaha pemulihan ekonomi, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan juga sedang menumpukan usaha menangani isu kos sara hidup, kenaikan harga barang selain memastikan keterjaminan makanan yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.
Menteri Kewangan itu menjelaskan beberapa pendekatan seperti Konsep Payung Rahmah, Karnival Jualan Aidilfitri, keusahawanan, inovasi sosial seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat, merupakan sebahagian ikhtiar membantu rakyat dan mendapat sambutan menggalakkan.
Beliau juga menegaskan Malaysia akan terus berperanan dengan lebih aktif dalam menyuarakan pendirian serta memelihara kepentingan negara di forum antarabangsa khususnya dalam isu kedaulatan negara, kemanusiaan, keselamatan dan pengurusan bencana.
"Sumbangan Tuanku dalam mengangkat kepentingan negara dalam bidang diplomatik dan pelaburan amat dihargai," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kebijakan ekonomi yang direncanakan Jemaah Menteri, penjawat awam dan sektor swasta, telah melonjak pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke 5.6 peratus dan jumlah pelaburan RM71.4 bilion berjaya diperoleh pada suku pertama 2023.
Beliau berkata, Belanjawan Malaysia Madani 2023 telah diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 lepas.
"Maka, bertambah ampuh tekad ke arah pelaksanaan tiga Tekad dan 12 Ikhtiar Utama Belanjawan Madani terutama dalam bidang keterjaminan makanan, ekonomi digital, peranan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan menoktah kemiskinan tegar," katanya.
Anwar berkata, berbekalkan tekad dan semangat"Membangun Malaysia Madani", kerajaan beriltizam untuk berusaha dengan tekun memacu pertumbuhan sekali gus mempertahankan keadilan dan nilai murni manusiawi.
Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023, di Istana Negara. - Bernama