Irfan puas hati biarpun TFC menang tipis

Iklan
Irfan Bakti - Foto Bernama

JURULATIH Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim berpuas hati dengan disiplin dan corak permainan yang ditunjukkan pemainnya ketika perlawanan menentang penyandang juara, Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA, malam tadi.

Dalam aksi penuh debaran di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, TFC menang tipis 2-1 ke atas Pahang hasil jaringan Malik Mat Arif dan Kipre Tchetche manakala gol tunggal skuad Tok Gajah disumbangkan pemain import dari Brazil, Jose Eduardo Bischofe.

Iklan
Iklan

Irfan berkata pemainnya mempamerkan aksi sangat cemerlang terutama pada separuh masa pertama sehingga membolehkan dua gol mudah dijaringkan iaitu pada minit ke-9 dan ke-26.

"Cuma pada separuh masa kedua itu pergerakan mereka (pemain) dah mula perlahan dan akhirnya memberi ruang pada Pahang untuk rapatkan jurang dengan gol pada minit ke-57.

Iklan

"Bagaimanapun saya perlu beri pujian pada Adib Aizuddin kerana bermain dengan baik dan berjaya mengawal pemain nombor 26, Mohamadou Sumareh yang merupakan senjata Pahang serta kombinasi mantapnya dengan Jose Eduardo yang berbahaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan suku akhir pertama Piala FA di sini, malam tadi.

Iklan

Ketika ditanya adakah faktor kemenangan TFC disebabkan ketiadaan dua tonggak utama Pahang iaitu Safwan Baharuddin dan Dickson Nwakaeme, Irfan berkata kekuatan sesebuah pasukan bukan terletak sepenuhnya pada satu individu tertentu, tetapi juga kerjasama dan gandingan mantap pemain dalam satu pasukan.

"Dalam sesebuah perlawanan apa sahaja boleh berlaku. Mana tahu kalau Safwan dan Nwakaeme turun TFC boleh jaringkan 4-0. Pahang ada kemahiran yang baik, maknanya bukan setakat Safwan atau Nwakaeme tetapi keseluruhan (pasukan) dan saya sebenarnya sangka mereka berdua bermain malam ini," katanya.

TFC akan bertandang ke Stadium Darul Makmur bertemu Pahang pada perlawanan timbal balik di Kuantan 10 Mei nanti.

Pada perlawanan itu nanti, beliau yakin pemainnya mampu mengekalkan momentum cemerlang seperti malam tadi untuk terus mengatasi Pahang seterusnya mara peringkat separuh akhir. - Bernama