KLUANG - Seorang lelaki yang pengsan pada ketinggian 800 meter di Gunung Lambak berjaya diselamatkan oleh pihak bomba pada Isnin.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jusoh Mohd Salleh, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara berkenaan pada 9.12 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota bomba dari Balai Penyelamat dan Bomba (BBP) Kluang, satu jentera FRT dan satu EMRS terlibat dalam usaha menyelamat berkenaan.
"Setibanya di lokasi pasukan keluaran operasi (PKO) diketuai PBKII Jusoh Mohd Salleh dari BBP Kluang mendapati seorang mangsa pengsan semasa aktiviti pendakian di ketinggian 800 meter di Gunung Lambak.
"PKO kemudiannya memberikan rawatan bantuan pernafasan dan seterusnya mangsa dibawa turun ke kaki gunung menggunakan basket stretcher,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang berusia 52 tahun itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan sekitar 11.12 pagi.