Tidak perlu sindir pelawa ahli dibuang hadiri PAU - Hishammuddin

Iklan
Hishammuddin - Foto Bernama

SHAH ALAM - Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan pelawaan yang dibuat secara menyindir dan berselorh kepada bekas ahli untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menggambarkan mentaliti dan pemikiran kepimpinan UMNO sekarang.

Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, tindakan tersebut tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangi hati ahli-ahli di akar umbi.

Iklan
Iklan

"Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke Perhimpunan Agung UMNO secara menyindir dan sengaja berseloroh. Ini hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan UMNO.

"Saya pasti orang ramai lebih rindu kepada UMNO yang asal," katanya menerusi Instagram pada Isnin.

Iklan

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong memberitahu, mereka yang dibuang tidak rugi kerana parti telah pun menetapkan hukuman.

Hishamudin membuat hantaran berhubung kenyataan beberapa pemimpin yang secara sinis ‘menjemput’ bekas ahli-ahli digantung dan dipecat sekiranya mereka rindu untuk hadir ke PAU di Instagram.

"Tidak memerlukan khidmat kami lagi, yang rugi adalah UMNO yang terkesan dari pelawaan sinikal sedemikian," jelasnya.

Iklan

Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu mengalu-alukan bekas ahli atau ahli bukan perwakilan untuk hadir ke PAU 2023.

Katanya, bekas ahli parti boleh datang sebagai pemerhati dan untuk mengubat kerinduan mereka terhadap perhimpunan tersebut.

Sebelum itu, media melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki secara berseloroh 'mengajak' mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui kain samping UMNO mereka pada PAU 2023 yang dijadual pada 7 Jun hingga 10 Jun ini.

UMNO sebelum ini memecat beberapa ahlinya termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Hishammuddin dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.