Shahril, KJ puji Dr Akmal tidak buta tuli ikut parti

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Shahril Sufian, Khairy)

SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan Ketua Pemuda parti itu, Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai individu yang mempunyai potensi dalam mengambil haluan berbeza daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ini susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menyuarakan pihaknya tidak bersetuju berhubung jemputan parti kepada DAP dan PKR dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada 7 Jun ini.

Iklan
Iklan

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa Muhamad Akmal adalah seseorang yang tidak akan mengikut secara membuta tuli.

"Ini adalah petunjuk pertama dalam penggal ini, terdahulu beliau (Muhamad Akmal) mengikut sahaja.

Iklan

"Namun kali pertama Muhamad Akmal mengambil jalan berlainan. Kita mahu melihat adakah dia konsisten ataupun goyah selepas teguran," katanya dalam program Keluar Sekejap pada Isnin.

Pada Jumaat, Dr Muhamad Akmal menyatakan Pemuda UMNO tidak akan menjemput parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke PAU 2023 bagi sayap pemuda yang akan berlangsung minggu depan.

Iklan

Dengan maksud tersirat, Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya mahu 'memperbetulkan' dulu apa yang berlaku di 'rumahnya' sebelum menjemput mana-mana parti.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula menyifatkan tindakan Dr Muhamad Akmal untuk tidak menjemput mana-mana parti lain hadir kerana mahu menyelesaikan isu dalaman terlebih dahulu adalah berani dan bermaruah.

"Belum ada apa-apa lagi terus bertindak menjemput dan meraikan rakan gabungan sedangkan kita tidak pernah mengajak seteru kepada kita kerana PAU ini khas untuk rakan-rakan parti dalam dan luar negara.

"Pas pula kita jemput selepas memeterai Muafakat Nasional (MN) tetapi saya nampak MN tidak mengundang reaksi kurang selesa di kalangan akar umbi," ujarnya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan akar umbi UMNO perlu berlapang dada menerima kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat PAU 2023.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah menjemput Anwar dan juga presiden parti gabungan yang lain membuktikan Kerajaan Perpaduan kini seangkatan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN).