Kempen agresif PN di media sosial ancaman untuk PH

Iklan
Nurul Izzah (tengah) bersama pimpinan PKR Pulau Pinang ketika majlis pelancaran jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan Pulau Pinang, pada Isnin.

PERMATANG PAUH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui kempen agresif Perikatan Nasional (PN) di media sosial memberi ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kempen sangat besar dan begitu menonjol dilakukan oleh PN antara bahaya yang perlu dihadapi selain sukar untuk menangkis fitnah yang sudah menular dilakukan oleh pihak lawan.

Iklan
Iklan

"Jadi kita mengingatkan kepada semua anggota dan pimpinan agar sentiasa berwaspada termasuk juga kepada pengundi kerana kita tidak mahu undian dibuat bukan berdasarkan fakta.

"Lebih-lebih lagi di bawah kerajaan negeri yang mendapat dokongan ramai di Pulau Pinang ini majoriti berpuas hati dengan kepimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan Pulau Pinang di sini, pada Isnin.

Iklan

Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis turut mendakwa, selain aktif melakukan kempen menerusi laman sosial seperti TikTok, jentera PN juga dikatakan agresif dalam membuat laporan terhadap video yang dimuat naik oleh penyokong PH.

"Segala usaha untuk menjelaskan fakta sebenar selalunya akan diturunkan gara-gara di pihak PN begitu agresif bukan sahaja menularkan video tetapi juga melaporkan (video yang dimuat naik PH)," katanya lagi.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan lain Nurul Izzah menyeru agar semua jentera PH bekerja keras dalam memenangi hati pengundi terutama pengundi muda untuk memastikan mereka memilih calon dari parti Kerajaan Perpaduan yang akan ditampilkan pada PRN nanti.

Katanya, walaupun sokongan dan tahap kepuasan hati masyarakat terhadap Kerajaan Perpaduan tinggi di Pulau Pinang, namun beliau tetap mahukan semua mengambil serius dalam memastikan kemenangan di semua kerusi yang akan dipertandingkan terutama kerusi majoriti Melayu yang menjadi sasaran PN.