SEGALA-galanya bermula dengan satu mesej cukup ringkas di aplikasi WhatsApp.
'Hello, saya Rosmah, Ketua Unit Sumber Manusia di (sebuah syarikat tidak wujud). Saya terjumpa nombor anda di sebuah aplikasi sosial. Kebetulan syarikat kami sedang mencari pekerja sambilan. Tugas kami mudah sahaja. Boleh saya berikan maklumat lanjut jika anda berminat?'
Mesej ini memang kelihatan biasa-biasa sahaja, namun hakikatnya, tulisan yang sama telah menarik minat beribu-ribu rakyat Malaysia terutama yang ingin mencari pendapatan sampingan.
Apa yang menyedihkan, niat asal hendak membantu keluarga berakhir dengan mangsa pula berhabis ratusan ribu ringgit!
Ini bukan kisah dongeng seperti dilaporkan Sinar Harian Ahad lepas, seorang suri rumah di Kuantan kerugian RM110,556 selepas terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud ini.
Modus operandi syarikat tidak wujud ini sangatlah menarik dan 'mengundang' kerana ia bermula dengan beberapa tugasan mudah iaitu hanya Like dan Share video di YouTube.
Mangsa kemudian akan dibayar terlebih dahulu untuk tugasan pertama dan kedua antara RM60 hingga RM100 sehari menerusi akaun bank mereka.
'Permainan' bermula apabila mangsa yang seronok dapat wang akan diminta membuat tambahan tugas, namun mereka perlu menyalurkan sejumlah bayaran kepada syarikat itu.
Berbanding Love Scam, Macau Scam, dan scam lain menggunakan panggilan telefon, taktik penipuan terbaru ini nampak lebih realistik kerana mangsa pada awalnya menerima keuntungan.
Namun akibat rasa tamak yang menguasai, mereka sanggup keluarkan wang sendiri dengan harapan mendapat pulangan lebih lumayan.
Untuk rekod, setakat Mei 2023, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 744 laporan kes penipuan dalam talian menerusi Facebook, Telegram (17), WhatsApp (16), Instagram (7) dan e-mel (1) dalam tempoh sama.
Namun kesemua laporan ini tidak mampu menghentikan jenayah online, sebaliknya si penjahat akan sering mencari kaedah baru untuk menipu.
Yang penting, kita jangan ambil jalan mudah dengan percaya tawaran dibuat pihak tidak dikenali, apatah lagi jika ia mengenakan syarat-syarat tidak masuk akal.
Takkanlah kita yang cari kerja untuk tambah pendapatan, kita pula yang kena buat bayaran kepada mereka? Fikir-fikirkanlah logiknya.