SUNGAI PETANI - Tidak selesa akibat ruang solat yang sempit menyebabkan jemaah Kariah Taman Kelisa Ria, di sini terpaksa menunaikan solat sunat Aidilfitri lalu di atas jalan tar.
Setiausaha Jawatankuasa Masjid Taman Kelisa Ria, Basri Wahab berkata, kehadiran jemaah di luar jangkaan dan tidak menyangka solat dilakukan sehingga di kawasan luar pagar surau.
Menurutnya, situasi itu membuktikan keperluan mendesak agar sebuah masjid lebih luas dan selesa diperlukan bagi menampung keperluan jemaah yang semakin ramai.
"Surau yang memuatkan lebih kurang 500 jemaah itu dibina kira-kira 20 tahun lalu, kini sudah tidak mampu menampung kapasiti jemaah yang bertambah terutama ketika menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri atau Aidiladha.
"Masa hari raya baru ini, tak sangka ada ramai yang terpaksa berpanas dan solat atas jalan di depan rumah penduduk sebab dalam surau dah penuh," katanya.
Menurut Basri, bilangan penduduk semakin meningkat dengan jumlah rumah kediaman yang bertambah menyebabkan ruang sedia ada tidak mencukupi.
Selain itu, katanya, ruang surau yang terhad juga dijadikan kelas KAFA membabitkan kira-kira 400 murid termasuk sesi pagi dan petang.
"Kelas KAFA juga sempit, tiada ruang atau bilik kelas khas kerana menumpang ruang surau sedia ada," katanya.
Disebabkan itu, satu jawatankuasa dibentuk di mana perancangan membangunkan masjid telah dilakukan secara serius pada 2018 dengan dana permulaan yang dikumpul ketika itu sebanyak RM1.8 juta.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Kelisa Ria, Abd Samad Asmawi melahirkan kesyukuran kerana kini kerja-kerja pembinaan masjid sedang dilaksanakan bersebelahan surau sedia ada, namun masih mempunyai kekangan di mana dana yang diperlukan masih belum mencukupi.
Menurutnya, walaupun tertangguh beberapa kali akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain penularan Covid-19, masjid dijadualkan siap pada Oktober 2024.
"Kami merayu orang ramai, para dermawan atau syarikat korporat agar sama-sama menyumbang bagi membolehkan masjid dibina mengikut masa ditetapkan," katanya.
Masjid yang dijangka mampu memuatkan kira-kira 1,400 jemaah akan dilengkapi dengan ruang solat, pagar, tandas, termasuk kaki lima dan landskap itu diyakini mampu memberi keselesaan buat semua anak kariah untuk beribadat dan melaksanakan aktiviti keagamaan lain.
Mana-mana pihak yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 02020010066346 atas nama Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Kelisa Ria atau Maybank bernombor 552059845865 atas nama Masjid Taman Kelisa Ria.