Program TVET.belia bantu pelajar lepasan SPM sambung belajar

Iklan
Mohammad Rizan

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) anjuran Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) membantu golongan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan dan tercicir untuk menyambung pelajaran terutama dalam bidang kemahiran.

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan berkata, melalui program yang dikenali TVET.belia memberi peluang kepada semua peserta menerima bantuan pembiayaan latihan kemahiran menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Iklan
Iklan

Ujarnya, bantuan berkenaan meliputi bantuan yuran latihan, elaun sara hidup, bantuan pengangkutan dan kemudahan komputer riba.

"Menyedari sindrom kelesuan motivasi di kalangan generasi muda dan kepentingan membina kesejahteraan ekonomi dan sosial bersama yang baik, PKPB telah melancarkan Program TVET.belia dengan kerjasama institusi latihan kemahiran awam atau swasta dalam pelbagai bidang.

Iklan

"Persijilan Kemahiran Malaysia adalah sistem latihan diiktiraf dan ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kepada institusi latihan kemahiran merangkumi aspek kemudahan latihan kondusif, tenaga pengajar berkelayakan dan silibus yang menepati Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standard – NOSS)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohammad Rizan berkata, program berkenaan melibatkan 20 institusi latihan kemahiran di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus diminati anak muda seperti Teknologi Motosikal, Teknologi Automotif, Teknologi Kimpalan, Pereka Fesyen, Kulinari dan sebagainya.

Iklan

Menurutnya, penglibatan institusi latihan kemahiran dijangka bertambah dan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Walaupun keutamaan lepasan SPM adalah memilih lanjutan pelajaran dan latihan menerusi UPU Online namun kapasiti di institusi latihan kemahiran awam terhad dan juga keterbatasan akses kepada mereka tidak cemerlang atau gagal SPM," jelasnya.

Justeru, Mohammad Rizan menjelaskan peluang juga terbuka kepada belia yang tidak menamatkan persekolahan menengah dengan harapan keluar dari keciciran.

"Oleh itu menerusi Program TVET.belia, ia merupakan peluang kedua yang memberikan akses mudah disamping kualiti dan standard latihan sama serta persijilan diiktiraf serta ditauliahkan oleh kerajaan," ulasnya.

Permohonan kini telah dibuka dan belia lepasan SPM boleh memohon melalui laman web www.beliamahir.com atau hubungi 011-55880076 / 011-62625353 (Urusetia Belia Mahir pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.