Semua pihak perlu patuhi titah Yang di-Pertuan Agong - Mufti

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. - Gambar kecil: Wan Salim

GEORGETOWN - Semua rakyat negara ini terutama pemimpin parti politik mesti menghormati dan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar agama Islam tidak dijadikan polemik perbalahan politik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, titah baginda itu tentunya lahir daripada keinsafan tentang betapa pentingnya kesucian agama Islam agar dipelihara selain keharmonian dalam hubungan antara rakyat berbilang kaum harus terus dikekalkan.

Iklan
Iklan

"Sebagai seorang yang berkecimpung di dalam bidang kefatwaan selama hampir satu dekad, saya ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak mengheret agama ke dalam kencah politik kepartian agar imej agama Islam tidak tercemar kerana dikaitkan dengan pandangan politik yang mungkin tersalah disebabkan kelemahan manusia.

"Memang politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam, tetapi politik yang dimaksudkan di sini ialah usaha-usaha untuk melaksanakan keadilan, kebajikan dan kemakmuran menerusi pemerintahan untuk kepentingan rakyat.

Iklan

"Ini termasuk juga usaha membasmi kemiskinan dan memerangi jenayah rasuah serta penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga dan kerabat," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau menambah, dari sudut berbeza, sistem demokrasi dalam pemerintahan bukan sahaja diterjemahkan dalam bentuk pilihan raya yang bebas malah ia mesti diterjemahkan ke dalam usaha menghormati hak-hak seluruh warganegara termasuk golongan minoriti.

Iklan

"Umat Islam wajib terikat kepada prinsip-prinsip Islam tetapi mereka diharuskan memilih mana-mana parti untuk diikuti. Seorang Muslim yang enggan mematuhi mana-mana rukun Islam adalah berdosa, tetapi bukan satu kesalahan di sisi Islam jika tidak mengundi parti tertentu," katanya.

Pada Isnin, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

Dalam titah sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong itu, Seri Paduka turut mengajak semua pihak membuang agenda retorik perpecahan dengan bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik.

Al-Sultan Abdullah juga mengingatkan, semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda lagi, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam juga perlu dihormati, namun agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai.