SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Kerajaan Perpaduan sengaja melewat-lewatkan penguatkuasaan Akta Pendanaan Politik dengan alasan birokrasi.
Ujar beliau, ironinya adalah akta tersebut merupakan antara rang undang-undang (RUU) yang paling mudah untuk dibawa ke Dewan Rakyat kerana draf dan kajian mengenainya telah sedia ada serta dijalankan.
Iklan
Iklan
Wan Saiful mendakwa, perkara tersebut secara tidak langsung membawa satu isyarat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melupakan agenda reformasi yang dibawa.
"Kerajaan memaklumkan perlu masa untuk libat urus dengan semua parti kerana kini kita ada gabungan baru. Tetapi parti yang membentuk gabungan baru adalah parti lama dan libat urus telahpun dijalankan dengan semua parti.
"Kenapa pula pembentukan gabungan baru oleh parti-parti lama dijadikan 'excuse' untuk melewatkan akta ini? Libat urus dah pun dijalankan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Justeru, beliau menggesa semua pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi tekanan lebih kuat kepada kerajaan berhubung isu tersebut.
Jelas Wan Saiful, tanpa tekanan berterusan, Anwar akan terus terlupa tentang janji-janjinya itu.