Jemputan PAU bukti persefahaman pimpinan kerajaan

Iklan
Muhamad Arafat

IPOH - Jemputan UMNO kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 bermula 7 Jun ini membuktikan persefahaman baik parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, jemputan terhadap pimpinan parti gabungan kerajaan dalam perhimpunan agung atau konvensyen parti bukanlah perkara luar biasa.

Iklan
Iklan

Jelasnya, kehadiran kepimpinan utama parti termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi gambaran sangat meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sedia ada terus kukuh.

"Bermula dari sini lahirnya persefahaman yang baik dengan niat untuk memastikan Kerajaan Perpaduan terus kekal stabil. Jemputan ini perkara biasa, cuma apa yang menjadi menarik apabila Anwar kembali ke Perhimpunan Agung UMNO kerana sejarahnya sebelum ini.

Iklan

"Di Perak sendiri, kita telah menzahirkan kestabilan itu apabila jentera pentadbiran berjalan lancar tanpa sebarang masalah di bawah gabungan yang sama. Dengan kestabilan itu pelbagai hasil positif dapat dicapai," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Muhamad Arafat berkata, dengan kestabilan politik dan kerajaan yang ada, pelan Perak Sejahtera 2030 dapat diteruskan tanpa sebarang bantahan demi kebaikan negeri.

Iklan

Malah katanya, Perak kini menjadi negeri keempat terbaik mencatat rekod pelaburan tertinggi sepanjang suku pertama tahun ini dengan nilai RM7.1 bilion di belakang Kuala Lumpur, Johor dan Selangor.

Menurutnya, dengan kejayaan dan pencapaian seperti itu sudah tentu rakyat dan pelabur yakin dengan pentadbiran kerajaan sekali gus meningkat pendapatan negeri.

Dalam pada itu, beliau mengakui masih ada segelintir akar umbi parti yang ragu-ragu serta tidak bersetuju dengan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan bersama.

Jelasnya, jentera penyampai maklumat parti masing-masing perlu memainkan peranan dalam memberi kefahaman kepada ahli terutama mereka yang terpengaruh dengan hasutan pembangkang.

Perhimpunan Agung UMNO 2023 bakal mencipta sejarahnya tersendiri apabila ia akan turut dihadiri pimpinan tertinggi DAP dan juga PKR.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua presiden parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Anwar akan menghadiri perhimpunan agung yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bermula 7 hingga 10 Jun ini.