HASRAT atlet olahraga Muhamad Ashraf Muhammad Haisham untuk membawa pulang tiga pingat emas pada Sukan Para ASEAN (APG) 2023 tidak kesampaian apabila beliau sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua bagi acara 800 meter (m) lelaki (T46- kecacatan fizikal) di Phnom Penh pada Selasa.
Perlumbaan di Stadium Morodok Techo itu berlangsung sengit apabila atlet berusia 28 tahun itu mencatat 2 minit 13.25 saat (s) untuk meraih pingat perak dan hanya ketinggalan 00.03s di belakang King James dari Filipina yang merekodkan 2: 13.22s untuk merangkul pingat emas.
Tran Van dari Vietnam meraih gangsa menerusi catatan 2:13.26s.
"Saya memang dah ikut perancangan jurulatih iaitu berada dekat pesaing namun 200m terakhir saya cuba kejar tetapi sudah tiada tenaga untuk pecut ketika itu walaupun saya cuba 'dive' sehingga luka di badan pada garisan penamat,” katanya.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan beliau gagal mempertahankan pingat emas acara itu yang dimenanginya di edisi sebelum ini di Solo, Indonesia.
Muhamad Ashraf yang membuat penampilan kali keempat pada temasya dwitahunan itu selepas edisi Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017) dan Solo (2022) memaklumkan jadual padat yang perlu diharungi di sini sedikit sebanyak mengganggu prestasi dirinya untuk memungut tiga emas buat pertama kali di APG.
Beliau sebelum ini meraih dua pingat emas menerusi acara 5,000m T46 pada Ahad lepas dan 1,500m T46 semalam.
Bagaimanapun Muhamad Ashraf berkata kejadian hari ini sedikit pun tidak melunturkan semangat beliau untuk memastikan impian membawa pulang tiga pingat emas tercapai pada edisi Thailand 2025.
"Ini kekalahan pertama kali saya bagi acara 800m semenjak 2015 namun saya akan belajar daripada pengalaman ini. Saya terima kenyataan lagipun masa tidak boleh ulang semula,” katanya. - Bernama