Pemilik kebun tak menang tangan layan peminat 'Raja Kunyit'

Iklan
Mohd Anuar sibuk mengutip dan menandakan buah durian Raja Kunyit D197 yang telah gugur ketika ditemui Bernama di kebun miliknya di Kampung Lawang di sini. - Foto Bernama

TANAH MERAH - Sejak 20 Mei lepas, Mohd Anuar Yusoff, 53, tidak menang tangan melayan kehadiran ramai peminat Raja Kunyit D197 yang ingin menikmati keistimewaan rasa durian itu di kebun miliknya di Kampung Lawang, Batu Gajah, di sini.

Peminat durian yang datang bukan sahaja dari sekitar Kelantan, tetapi ada daripada Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Terengganu malah sejauh Sarawak, demi Raja Kunyit atau nama komersialnya Musang King.

Iklan
Iklan

Bercakap kepada Bernama, Mohd Anuar berkata biarpun Raja Kunyit atau Musang King merupakan klon yang sama, tetapi buah yang ditanam di Tanah Merah mempunyai rasa yang berbeza berbanding yang ditanam di lokasi lain.

"Raja Kunyit merupakan klon asal Musang King namun begitu buah yang ditanam di Tanah Merah ada perbezaan dari segi rasa dan tekstur. Tekstur Raja Kunyit di sini lebih berkrim selain memiliki rasa lemak, manis dan pahit yang seimbang.

Iklan

"Raja Kunyit juga memiliki isi yang pejal dan tidak begitu lembik. Seorang peminat Raja Kunyit boleh habiskan sebiji buah tersebut sendiri berbanding Musang King, makan dua tiga ulas dah rasa muak," katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini semalam.

Bercerita lanjut, Mohd Anuar berkata beliau dan isteri mewarisi kebun seluas hampir 0.8 hektar itu daripada arwah bapanya.

Iklan

"Arwah ayah mula tanam pokok durian bermula tahun 1985. Kebun ini kini memiliki kira-kira 40 pokok Raja Kunyit,” katanya.

Mohd Anuar berkata dia menggunakan medium media sosial seperti Facebook untuk mempromosi durian Raja Kunyit di kebun tersebut.

"Tahun ini saya jual Raja Kunyit RM45 sekilogram. Mereka yang datang ke kebun ini bukan sahaja dapat makan buah yang segar, malah dapat merasai pengalaman mengutip sendiri durian yang luruh di sekitar kebun ini," kata guru di sebuah sekolah menengah itu.

Seorang peminat durian Mohd Nur Hafiz Nazir, 36, berkata dia sekeluarga datang dari Kampung Meranti, Pasir Mas untuk menikmati durian di kebun berkenaan.

"Ini pengalaman pertama saya makan di kebun durian. Biasanya saya sekeluarga akan ke Raub, Pahang untuk membeli durian Musang King.

"Rasa Raja Kunyit di sini lebih sedap, lebih pejal, kering, tidak begitu manis dan tidak muak apabila makan menyebabkan rasa nak makan lagi,” katanya.

Durian Raja Kunyit mula ditanam di Pulau Raya, Tanah Merah sebelum dinamakan sebagai Musang King dan ditanam di pelbagai lokasi lain. - Bernama