KUANTAN - Tujuh individu termasuk empat wanita dijejaki polis bagi membantu siasatan berhubung dua kes penipuan Macau Scam yang dilaporkan di negeri ini, semalam.
Semua individu terbabit merupakan pemilik akaun bank yang disyaki digunakan dalang kegiatan itu menyebabkan mangsa kerugian RM22,462.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam dua kes itu, sindiket menggunakan modus operandi penipuan parcel dan tawaran pinjaman tidak wujud untuk memerangkap mangsa.
Menurutnya, kes pertama melibatkan seorang pereka wanita di sini apabila rugi RM18,560 selepas terpedaya dengan tawaran pinjaman peribadi yang diiklankan sebuah syarikat pemberi pinjaman wang melalui Facebook.
"Mangsa berusia 30 tahun itu berminat untuk membuat pinjaman bagi modal perniagaannya sebelum berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen syarikat tersebut, 19 April lalu.
"Wanita itu membuat permohonan dengan mengisi borang secara atas talian dengan jumlah pinjaman RM14,000,”katanya.
Mohd Wazir berkata, seperti biasa mangsa diminta membuat sejumlah bayaran proses sebelum pinjaman itu diluluskan.
"Akur dengan syarat itu, mangsa membuat sembilan transaksi pembayaran melalui tujuh akaun bank atas nama berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM18,560.
"Mangsa mula syak ditipu apabila bayaran dibuat jauh lebih tinggi daripada jumlah yang dipinjam, lalu membuat laporan polis” katanya.
Sementara itu dalam kes berasingan, seorang penyambut tetamu juga dari daerah ini rugi RM3,950 selepas ditipu ‘kenalan’ warga Itali yang dikenali melalui Instagram.
Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 26 tahun mengenali lelaki yang menggunakan nama Muhamed Rahim teruja apabila kenalannya itu memaklumkan menghantar hadiah berupa telefon bimbit dan barang kemas bernilai USD15,000 atau lebih RM60,000 sebagai tanda perkenalan.
"Pada 26 April lalu, mangsa dihubungi ejen syarikat penghantaran memaklumkan ‘kiriman’ tersebut telah sampai namun dia perlu menjelaskan cukai RM3,950 yang dikenakan ke atas barang tersebut.
"Teruja dengan hadiah tersebut, mangsa membuat bayaran seperti diminta secara berperingkat dalam tempoh 27 hingga 30 April lalu melalui akaun bank atas nama seorang wanita,” katanya.
Bagaimanapun mangsa mula curiga apabila dia diminta membuat bayaran tambahan RM8,500 untuk menuntut hadiah tersebut atau namanya akan disenarai hitam.
"Mangsa syak dia tipu lalu membuat laporan polis semalam,”katanya.
Beliau berkata, susulan dua laporan polis yang diterima, pihaknya membuka kertas siasatan kes tersebut untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.