Sultan Selangor mahu isu agama diselesaikan secara bijak

Iklan
Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua pihak mengambil pendekatan yang bijak, tertib dan dengan semangat toleransi yang tinggi dalam berhadapan isu agama.

Apa jua polemik agama hendaklah diselesaikan segera demi perpaduan dan masa hadapan negara, titah baginda menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Selangor Royal Office pada Selasa.

Iklan
Iklan

Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru agar semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat terus disemai serta dididik di semua peringkat bersama nilai-nilai murni hidup bermasyarakat bagi mengekalkan keharmonian.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menyokong dan senada dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam yang mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

Iklan

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara jika tidak diselesaikan segera.

Iklan

Sama seperti Yang di-Pertuan Agong, baginda Sultan turut menzahirkan kegusaran berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang dikhuatiri menjadi polemik berlarutan dan boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara, kata kenyataan itu.

Sultan Selangor mahu semua pihak menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, dan semua rakyat juga perlu menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

Titah baginda Sultan lagi, ke arah membina sebuah negara yang maju jaya, berwibawa, dan bermaruah, semua rakyat dan ahli politik hendaklah membuang sebarang agenda retorik yang boleh membawa kepada perpecahan.

"Tanpa perpecahan, Malaysia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi sebuah negara yang maju dan disegani,” titah baginda. - Bernama