GEORGETOWN - Sebuah bot nelayan kelas C yang dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berhampiran perairan Pulau Kendi, di sini pada Isnin.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan ditahan di kedudukan 18 batu nautika barat Pulau Kendi pada jam 2 petang oleh anggotanya yang sedang melakukan rutin rondaan berhampiran pulau berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, empat kru nelayan termasuk tekong warga Myanmar berusia 26 hingga 31 tahun berada di atas bot tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah," katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Abd Razak berkata, kesemua kru, bot dan hasil tangkapan ikan campur sebanyak 100 kilogram ditahan serta dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang aduan, salah laku dan kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk tindakan segera.