11 didenda gagal beri alasan munasabah akaun bank diguna along

Iklan
Sebelas individu mengaku bersalah atas pertuduhan gagal mengemukakan alasan munasabah mengenai kemasukan sejumlah wang ke dalam akaun bank mereka yang digunakan untuk bayaran hutang along sejak tahun lalu.

SEREMBAN - Seramai 11 individu termasuk tiga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan gagal mengemukakan alasan munasabah mengenai kemasukan sejumlah wang ke dalam akaun bank mereka yang digunakan untuk bayaran hutang along sejak tahun lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosni menetapkan kesemua tertuduh berusia 20 hingga 60 itu masing-masing didenda RM800 hingga RM1,000 sebaik membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Iklan
Iklan

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara lapan hari hingga 10 hari jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tertuduh ialah Ong Le Yang, 20, Kong Kai Wei, 21, Muhammad Adam Abdul Latif, 27, Muhammad Irwan Othman, 38, Nor Arfina Arifin, 38, Jee Kah Rock, 21, Ng Woei Yuan, 37, Saiful Hamizi Abdul Hamid, 35, Nurul Aishah Hasbollah, 26, Wan Halipah Wan Ali, 60, dan Low Yey Yong, 32.

Iklan

Difahamkan kesemua tertuduh bekerja sebagai eksekutif akaun, pembantu operasi, pekerja am, pembantu kebun dan bekerja sendiri.

Mengikut pertuduhan pilihan yang dibacakan berasingan, tertuduh didakwa gagal mengemukakan alasan yang munasabah mengenai kemasukan wang oleh seorang individu berjumlah RM1,150 hingga RM187,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan antara 4 Ogos 2022 hingga 6 Februari 2023 di Suriaman 3, Bandar Sri Sendayan di Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Tan Cheng Jie, 29, dibenarkan ikat jamin RM2,000 selepas tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan kes akan disebut semula 10 Julai depan.