Penulis British diperintah bayar ganti rugi RM1.2 juta

Iklan
Backman diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM1.2 juta kepada Kooi Ong kerana memfitnah beliau dalam buku bertajuk Daim Zainuddin: Malaysia’s Revolutionary and Troubleshooter.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan penulis British, Michael Backman membayar ganti rugi berjumlah RM1.2 juta kepada bekas pegawai bank dan Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong kerana memfitnah beliau dalam buku bertajuk Daim Zainuddin: Malaysia’s Revolutionary and Troubleshooter.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memerintahkan Backman membayar RM600,000 sebagai ganti rugi am dan RM600,000 lagi sebagai ganti rugi teruk.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ganti rugi itu diberikan kerana menyebabkan kerosakan yang tidak ternilai akibat fitnah yang hanya boleh diberikan pampasan oleh mahkamah.

"Mahkamah mengambil kira kedudukan plaintif (Kooi Ong) dalam dunia perniagaan yang bukan hanya dikenali di Malaysia malah di rantau ini dan seluruh dunia. Memandangkan dakwaan yang dilemparkan ternyata memfitnah beliau di peringkat antarabangsa, RM600,000 sebagai ganti rugi am adalah jumlah yang munasabah," katanya.

Iklan

Roz Mawar juga berkata, mengenai ganti rugi teruk, defendan enggan memasukkan kehadiran dan mengemukakan pernyataan pembelaan atas alasan beliau tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah itu.

Pada Mac, satu perintah penghakiman ingkar telah dimasukkan terhadap Backman susulan kegagalan beliau hadir pada prosiding mahkamah.

Iklan

Peguam K. Shanmuga mewakili Kooi Ong.

Pada 28 September 2022, Kooi Ong, 64, memfailkan saman terhadap Backman kerana mendakwa terdapat kenyataan berunsur fitnah dalam buku itu.

Menurut plaintif, pada 2018, defendan, melalui penerbitnya River Books Co. Ltd di Thailand, telah mencetak dan menerbitkan buku itu yang boleh didapati di seluruh dunia termasuk United Kingdom dan Malaysia.

Beliau mendakwa defendan secara melulu dan dengan niat jahat telah menerbitkan perkataan berunsur fitnah yang merosakkan imej plaintif dan menyebabkan perniagaannya mengalami kerugian. - Bernama