Along pecah cermin kenderaan, lima jiran rugi RM5,000

Iklan
Seorang lelaki yang merupakan along ditahan selepas memecahkan cermin hadapan lima kenderaan di Taman Seri Keramat Tengah, Ulu Kelang, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dan empat jirannya di Taman Seri Keramat Tengah, Ulu Kelang, di sini, kerugian RM5,000 selepas cermin hadapan lima kenderaan mereka dipecahkan ejen pinjaman wang atau along gara-gara seorang daripada penduduk di situ tidak melunaskan hutangnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian bermula 7 pagi pada 22 Mei lepas ketika lelaki berusia 42 tahun itu berada di rumah sebelum dikejutkan jiran yang menyatakan bahawa cermin hadapan kereta lelaki itu dan empat kereta jiran lain telah dipecahkan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, selain insiden itu, mangsa turut menerima nota ugutan yang tertulis wang yang dihutang perlu dibayar.

"Pihak kami turut menerima satu lagi laporan polis daripada seorang lelaki berusia 45 tahun bekerja sebagai penghantar barang Lalamove, yang keretanya disimbah cat setelah membuat pinjaman dengan along melalui dalam talian pada Januari lepas sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Katanya, susulan daripada kedua-dua laporan polis itu, seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai ejen syarikat pinjaman wang ditahan di Ampang Boulevard Condominium, di Jalan Air Bukit, Taman Ampang Utama, di sini pada 4.30 petang, 25 Mei lepas.

Mohamad Farouk berkata, polis turut merampas sebuah komputer riba, dua telefon bimbit dan pelbagai dokumen bagi tujuan siasatan.

Iklan

"Suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah, dan direman enam hari hingga 31 Mei. Suspek telah diberi jamin polis dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek lain yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 kerana melakukan khianat dan ugutan jenayah. - Bernama