'Adakah Vida faham tentang bola sepak?' - Sathianathan

Iklan
Vida pernah mencipta fenomena dalam saingan Liga-M apabila menjadi penaja Kelantan pada tahun 2016.

MASALAH yang melanda Kelantan FC ketika ini tidak akan selesai sekiranya pemilik baharu kelab itu tidak memiliki perancangan rapi dan pengetahuan mengenai ilmu dalam dunia bola sepak.

Malah, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, mana-mana pihak yang berminat mengambil alih Kelantan FC juga perlu mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesudian usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida untuk kembali mengambil alih The Red Warriors (TRW) harus dilihat dari pelbagai sudut.

"Saya ada baca kenyataannya (Vida), nak letak anak beliau jadi pengurus sebab pandai bola. Macam mana ini? Realiti bola sepak sebenar berbeza.

Iklan

"Kalau nak kata minat bola sepak, kebanyakan orang memang minat bola sepak. Tetapi adakah beliau (Vida) faham tentang bola sepak? Apapun saya puji niat beliau nak ambil alih Kelantan FC.

"Tetapi kena ada persiapan rapi. Beliau juga pernah menaja Kelantan sebelum ini (2016), jadi saya tahu beliau juga sudah boleh dapat gambaran situasi sebenar pasukan.

Iklan

"Jangan cakap macam bina istana atas angin. Cakap memang cantik, tetapi realiti bola sepak tak ramai yang tahu. Hasrat beliau nak ambil alih (Kelantan FC) itu bagus tetapi dapatkan pihak yang boleh nasihat tentang bola sepak. Kalau ambil alih tetapi ilmu bola sepak tiada... memang susahlah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sejak beberapa minggu lalu, Kelantan FC dibadai dengan pelbagai masalah termasuk dakwaan pemiliknya, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham ‘menahan’ gaji pemain.

Malah, ejen bola sepak dari Korea Selatan, Myeongho Jeong pernah mendakwa bekas jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik tidak diberi kuasa penuh untuk menentukan senarai pemain.

Di sebalik isu dalaman yang melanda, tiba-tiba nama Vida kembali ‘meletup’ apabila beliau secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih Kelantan FC.

Vida yang pernah menjadi penaja pasukan pantai timur itu pada tahun 2016 turut berhasrat meletakkan anak lelakinya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau dikenali sebagai Kacak untuk menjadi pengurus Kelantan FC.