BACHOK - Sekumpulan warga emas di Kampung Kubang Keladi di sini menggunakan masa terluang mereka dengan aktiviti warisan menganyam tikar kercut.
Penghasilan tikar itu juga secara tidak langsung dapat menambah pendapatan kepada mereka kerana tikar itu masih mendapat permintaan terutama untuk dijadikan dekorasi.
Pembuat tikar kercut, Zizah Awang, 65, berkata, dia berkumpul bersama rakan-rakan, Ramlah Harun, 64, Halijah Samad, 71, dan Limah Harun, 63, setiap hari untuk menganyam tikar jika ada tempahan.
Menurutnya, pelbagai saiz tikar dan warna dihasilkan menggunakan pokok kercut yang tumbuh meliar di sekitar paya dalam kampung berkenaan.
"Proses membuat tikar bermula selepas pokok kercut yang sudah dipotong diikat ketat dan digulingkan dalam tanah liat bagi membuang warna hijau aslinya sebelum dijemur.
"Menjemur pokok kercut mengambil masa antara dua hingga tiga hari bagi membolehkan ia kering dengan elok," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Keladi pada Selasa.
Tambahnya, pokok yang memanjang seakan-akan lalang itu kemudiannya ditumbuk bagi meleperkan seratnya sebelum diwarnakan menggunakan pewarna khas.
"Sebelum dianyam, helaian pokok itu sekali lagi ditumbuk supaya lebih nipis bagi memudahkan proses anyaman selain kukuh," katanya.
Zizah yang mewarisi kebolehan menganyam kercut daripada moyangnya berkata, kesemua proses itu memerlukan kesungguhan bagi menghasilkan anyaman berkualiti.
Sementara itu, Ramlah memberitahu, biasanya kayu tembesu digunakan untuk menumbuk helaian pokok kercut kerana ia lebih keras dan tahan lama.
Ramlah berkata, mereka boleh menganyam tikar dalam tempoh sehari bergantung kepada saiznya.
Jelasnya, ada pelanggan yang mahu memilih warna selain permintaan supaya mengekalkan warna asli yang menampakkan nostalgia pada zaman dahulu.
"Kami cuba memenuhi permintaan pelanggan kerana mahu mereka gembira dan berpuas hati," katanya.
Bagaimanapun Ramlah kecewa kerana tidak ramai golongan muda yang berhasrat menyambung seni warisan berzaman itu kerana sibuk dengan tugas lain serta kekangan masa.
Tikar kercut yang siap sepenuhnya dijual pada harga RM80 bergantung pada saiznya.
Selain tikar, kumpulan warga emas itu juga boleh menghasilkan pelapik pinggan, seperah dan kraf lain mengikut permintaan pelanggan.