Brazil serius mahu Ancelotti

Iklan
Ancelotti. - Foto AFP

JURULATIH Real Madrid, Carlo Ancelotti menjadi pilihan utama untuk membimbing Brazil bagi menggantikan Tite.

Presiden Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF), Ednaldo Rodrigues mahu menggunakan perlawanan antarabangsa di Eropah untuk berbincang dengan jurulatih skuad Catalan itu.

Iklan
Iklan

Pada masa sama Rodrigues akan turut mengadakan pertemuan dengan presiden kelab, Florentino Perez.

"Dia kekal dalam Pelan A dan dalam kunjungan ke Eropah kali ini, kami akan mendapat gambaran lebih jelas," kata Rodrigues pada sidang media di ibu pejabat CBF di Rio de Janeiro pada Rabu.

Iklan

Rodrigues menganggap jurulatih dari Itali itu sebagai pilihan utama untuk menggantikan Tite yang melepaskan jawatannya selepas Brazil tersingkir dalam suku akhir Piala Dunia di Qatar, November lalu.

Brazil akan menentang Guinea di Sepanyol pada 17 Jun dan kemudian menentang Senegal di Lisbon, Portugal pada 20 Jun.

Iklan

"Kunjungan kali ini amat penting buat kami (memutuskan mengenai jurulatih masa depan). Saya mahu bercakap dengan Ancelotti dan presiden Real Madrid. Hanya selepas itu baru kami boleh katakan apa yang akan berlaku selepas ini," kata Rodrigues.

Ancelotti masih memiliki kontrak dengan Madrid hingga 2024 menerusi perjanjian yang turut membabitkan penalti sekiranya ia ditamatkan awal.

Menurut Rodrigues, masalah tersebut tidak akan menjejaskan sebarang kemungkinan dengan Brazil.

"Isunya bukan kerana denda. Masalahnya mengenai kontrak dan tiada siapa mahu melanggarnya.

"Kami melabur dan berminat dengan idea ini dan akan melakukan apa yang termampu untuk menjadikannya realiti," katanya.

Bulan lalu, Ancelotti menafikan minat Brazil dengan menyatakan dia menghormati tahun terakhir kontrak bersama Real Madrid.