PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menasihatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah Inter Milan menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Istanbul, pada Ahad.
"Sudah tentu kami yakin dan optimis, tetapi pada masa sama saya tidak boleh menafikan kualiti dan kekuatan pasukan lawan.
"Kami tidak pernah bertemu Inter terutamanya dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara," katanya.
Anak buah Guardiola hanya memerlukan satu lagi kejuaraan untuk menjadi pasukan Inggeris kedua yang memenangi Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada musim yang sama.
Pencapaian treble tersebut setakat ini hanya mampu dilakukan oleh Manchester United pada musim 1998/99.
City dianggap sebagai pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara selepas perjalanan cemerlang mereka menewaskan Bayern Munich di suku akhir kemudian memalukan Real Madrid di separuh akhir.
Dalam 27 perlawanan terakhir mereka, The Citizens hanya mengalami satu kekalahan menentang Brentford pada hari terakhir Liga Perdana Inggeris pada penghujung Mei.
Namun, Guardiola tidak suka untuk memikirkan mengenai rekod lampau dengan fokusnya ketika ini adalah menghadapi perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
"Kami tahu apa yang penting di final ialah apa yang anda lakukan selama 95 minit. Tidak kira apa yang dicapai dalam peringkat kumpulan, dalam pusingan 16 atau dalam suku akhir, dalam Liga Perdana atau Piala FA. Ia adalah perlawanan yang unik, ia tentang menjadi lebih baik daripada lawan," katanya.